ABU DHABI, 11 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Abu Dhabi sempena lawatan kerja bermula 10 hingga 14 Februari 2026.
Dalam rangka lawatan kerja tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan berangkat melawat sekitar Pulau Bu Tinah, sebuah kawasan pemuliharaan marin yang menjadi sebahagian daripada Rizab Biosfera Marin Marawah dengan keluasan melebihi 4,000 kilometer persegi.
Pulau Bu Tinah terkenal dengan kepelbagaian biologinya yang tinggi, merangkumi habitat semula jadi unik seperti padang rumput laut, hutan paya bakau yang tinggi serta terumbu karang yang sihat, sekali gus menjadikannya model pemuliharaan marin bersepadu di peringkat antarabangsa.
Abu Dhabi juga diiktiraf sebagai antara kawasan utama dunia yang menempatkan populasi dugong kedua terbesar, dianggarkan sekitar 3,000 ekor sekaligus menjadikan usaha pemuliharaan di kawasan ini signifikan dalam konteks perlindungan spesies marin terancam.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang ini mencerminkan komitmen kepimpinan diraja negeri dalam meneroka pendekatan inovatif dan lestari yang boleh dijadikan rujukan serta diterapkan di Negeri Pahang, khususnya berkaitan pengurusan ekosistem marin dan biodiversiti.
Dalam sesi lawatan tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku turut diiringi oleh Presiden Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN), Yang Teramat Mulia Razan Al Mubarak, yang berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai inisiatif pemuliharaan alam sekitar di peringkat global. -KESULTANAN PAHANG







