KLANG, 16 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyertai Program 𝘛𝘩𝘦 𝘓𝘪𝘷𝘪𝘯𝘨 𝘓𝘦𝘨𝘢𝘤𝘺 𝘞𝘢𝘭𝘬 yang diadakan di Bandaraya Diraja Klang pada 14 Februari lalu.
Program anjuran Badan Warisan Malaysia itu merupakan satu inisiatif memperkenalkan semula sejarah dan warisan Klang sebagai antara penempatan terawal di rantau ini melalui lawatan berjalan kaki di sekitar bandar lama.
Lawatan yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 1.10 tengah hari itu membawa para peserta menyusuri lokasi-lokasi bersejarah yang mencerminkan perkembangan dan kepelbagaian budaya masyarakat setempat sejak dahulu hingga kini.
Sepanjang program, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bersama peserta lain menelusuri perjalanan sejarah Klang yang bermula sebagai penempatan awal sebelum berkembang menjadi pusat pentadbiran dan perdagangan penting pada era kolonial.
Lawatan turut merangkumi beberapa lokasi ikonik seperti Gedung Raja Abdullah, Kuil Lian He, Little India, Masjid Bandar Diraja Klang, Pasar Buah, Pasar Jawa dan Pengkalan Kampar yang suatu ketika dahulu menjadi nadi perdagangan sungai.
Peserta juga diberi penerangan mengenai inisiatif pemuliharaan Sungai Klang termasuk pemasangan kemudahan Trash Interceptor sebagai usaha menjaga kebersihan dan kelestarian sungai berkenaan.
Program tersebut bukan sahaja mengangkat nilai sejarah dan warisan bandar Klang, malah menyemarakkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara khazanah budaya untuk generasi akan datang. – KESULTANAN PAHANG







