MARAN, 03 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah murka dan kesal atas insiden penghinaan terhadap Al-Quran yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta menggugat keharmonian negara dan negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, insiden yang melibatkan seorang mahasiswa daripada sebuah universiti awam di negeri ini yang didakwa bertindak memijak naskhah Al-Quran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia, merupakan satu tindakan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Perbuatan ini bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan satu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
“Apabila Al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila Al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan pemahsyuran Masjid Baharu Felda Jengka 19 di sini dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Felda Jengka 19.
Sementara itu Paduka Baginda menegaskan bahawa berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah. Namun demikian,Paduka Baginda mengingatkan bahawa mempertahankan kesucian agama tidak boleh dilakukan secara melulu atau mengikut emosi.
Memetik kata-kata tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, Paduka Baginda bertitah bahawa ungkapan “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan” bukanlah seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab moral setiap Muslim untuk mempertahankan maruah agama.
“Islam menuntut ketegasan, tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah Paduka Baginda lagi.
Enggan membiarkan insiden berkenaan dipandang ringan, selaku Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, Paduka Baginda menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat. Dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan,” titah Paduka Baginda.
Dalam masa yang sama, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap rakyat, tanpa mengira agama dan bangsa, wajib saling menghormati kitab suci serta kepercayaan masing-masing.
“Kita sebagai orang Islam atau penganut mana-mana agama sekalipun, harus menghormati semua kitab-kitab dalam semua agama dan tidak mempersendakan mana-mana agama. Tanggungjawab saya sebagai Sultan Pahang adalah untuk menyatukan semua rakyat beta, tidak kira bangsa, kaum atau agama.
“Kita semua hendak tinggal di bumi Pahang ini dalam suasana aman sentosa, harmoni dan semangat muhibah yang sentiasa terpelihara,” titah Paduka Baginda.
Tegas Paduka Baginda lagi, tindakan mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak serta penghormatan terhadap agama-agama lain.
“Negeri ini dibina atas semangat hidup bersama dalam kepelbagaian. Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri ini menjunjung prinsip keadilan dan rahmat.
“Kita seharusnya mempertahankan agama kita dengan tegas dan dalam masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan tenang,” titah Paduka Baginda.
Menurut Baginda, insiden tersebut juga wajar dijadikan cermin muhasabah agar masyarakat tidak terlalu ghairah mengejar kemajuan dunia sehingga alpa memelihara akhlak dan nilai spiritual.
“Negeri boleh maju dengan teknologi, tetapi ia hanya akan bermaruah jika akhlaknya terpelihara.
“Justeru saya menyeru seluruh rakyat Pahang agar kembali kepada Al-Quran…membaca, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG





