LIPIS, 12 Mac 2026 – Apam balik, churros dan roti John antara menu pilihan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika berangkat ke Bazar Ramadan Bandar Lipis, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 4 petang turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengunjung yang berada di bazar berkenaan turut teruja dapat bertemu secara berhadapan dengan Paduka Baginda serta KDPM Tengku Mahkota Pahang dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku juga berkenan bergambar dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung yang berada di bazar tersebut. -KESULTANAN PAHANG








