PEKAN, 5 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan hadiah Program Mara Lasak 2026 di Felda Chini 1, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 10.05 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Pahang, YB Dato’ Mohd Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan – Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Turut hadir ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain.
Program Mara Lasak 2.0 yang diadakan pada tahun ini menerima penyertaan daripada 104 buah pasukan dengan jumlah keseluruhan 1,040 orang peserta dari seluruh negeri Pahang.
Empat kategori dipertandingkan dalam program ini iaitu kategori VIP, kategori Badan Beruniform, kategori Agensi Kerajaan serta kategori IPT dan Belia.
Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan muncul johan keseluruhan Program Mara Lasak 2.0. -KESULTANAN PAHANG






