KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre, hari ini.
Paduka Baginda yang juga merupakan penaung persatuan tersebut bertitah bahawa penganjuran majlis seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli serta komuniti anak-anak Pahang di ibu kota.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir serta kepada Presiden PEKAP, YBhg. Datuk Haji Azman bin Haji Abdullah atas usaha dan komitmen dalam menjayakan majlis berkenaan.
Sebelum berangkat pulang, Paduka Baginda berkenan menyantuni para hadirin serta menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam kalangan ahli PEKAP.-KESULTANAN PAHANG






