KUANTAN, 1 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Pekerja 2026 kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.
Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan serta komitmen yang dicurahkan oleh para pekerja dalam memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Sesungguhnya, peranan dan dedikasi setiap lapisan tenaga kerja adalah amat penting dalam memastikan kemajuan berterusan serta kestabilan ekonomi negeri dan negara.
Justeru, Paduka Baginda berdua berharap agar seluruh warga pekerja akan terus berusaha dengan penuh integriti, amanah dan semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar semua pekerja sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing demi kemakmuran bersama. -KESULTANAN PAHANG






