JERANTUT, 17 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke santapan pagi di Warung Pot, Kampung Pagi, Ulu Tembeling, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut penuh mesra oleh penduduk setempat serta pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk melihat dan bertemu secara dekat dengan Paduka Baginda.
Sepanjang keberangkatan tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan menyantuni dan melayan rakyat yang hadir bertemu Paduka Baginda dalam suasana santai dan penuh harmoni.
Paduka Baginda juga berkenan beramah mesra, bersalaman serta bergambar bersama rakyat yang hadir sekali gus menzahirkan keprihatinan dan sifat rendah diri Baginda yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ke Kampung Pagi jelas mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat khususnya masyarakat di kawasan pedalaman Ulu Tembeling. -KESULTANAN PAHANG






