KUANTAN, 17 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Perkahwinan pacal didik YH Tok Pentara Raja, Cik Nur Aiman Arissa Arifuddin dan pasangannya Encik Nur Ikhwan Abdul Rahim, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada pukul 12.35 tengah hari disambut oleh ibu bapa pengantin perempuan, YH Tok Pentara Raja, Encik Arifuddin Mohamad dan isteri.
Turut mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri,
YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku menyerikan lagi majlis perkahwinan yang berlangsung dalam suasana penuh adat istiadat dan kemeriahan dengan kehadiran ahli keluarga, saudara mara serta para jemputan.
Paduka Baginda turut meluangkan masa beramah mesra bersama kedua-dua mempelai serta ahli keluarga sebelum berkenan berangkat meninggalkan majlis. -KESULTANAN PAHANG





