KUANTAN 19 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah bahawa sesebuah muzium tidak seharusnya sekadar menjadi tempat mempamerkan artifak sejarah di sebalik kaca tetapi tentang ketamadunan dan memupuk rasa cinta kepada sejarah.
“ Muzium bukan hanya tentang pemeliharaan objek tetapi tentang memori ketamadunan dan bagaimana rasa cinta terhadap sejarah dibentuk. Ia mesti menjadi pusat kajian sejarah, rasa ingin tahu dan penemuan.
“Sebuah tempat di mana kecintaan terhadap sejarah dipupuk dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” titah Paduka Baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat menyampaikan Ucaptama sempena Simposium Majlis Muzium Antarabangsa Asia Pasifik 2026 dan Hari Muzium Antarabangsa di Kutubkhanah Diraja, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Paduka Baginda bertitah, muzium bukan institusi yang terasing tetapi sebahagian daripada komuniti global yang berteraskan ilmu pengetahuan, pemeliharaan dan pertukaran budaya.
“Banyak yang dapat dipelajari antara satu sama lain terutama melalui perhimpunan seperti hari ini iaitu perkongsian pengalaman, idea, penyelidikan dan perspektif. Melalui dialog kita terus memperbaiki dan mengkaji semula peranan muzium, memelihara tradisi sambil menerima inovasi agar ia kekal relevan, menarik dan bermakna kepada generasi muda mahupun orang dewasa.
“Muzium tidak seharusnya hanya menjadi destinasi pelancongan yang dilawati sekali lalu dan dilupakan. Ia sepatutnya menjadi tempat yang dikunjungi berulang kali di mana setiap lawatan membawa kepada penemuan baharu, perspektif baharu dan persoalan baharu,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda memaklumkan bahawa Muzium Pahang menubuhkan Pusat Penyelidikan Sejarah dan Ketamadunan Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) yang giat menjalankan penyelidikan berkaitan Pahang dalam sejarah Alam Melayu dan sejarah dunia, peranan Islam serta usaha berterusan kea rah dekolonisasi naratif sejarah Pahang.- KESULTANAN PAHANG






