KUANTAN, 19 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah atas penganugerahan Anugerah Commander de la Légion d’honneur oleh Republik Perancis kepada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Affendi Buang TUDM.
Pengurniaan anugerah berprestij tertinggi Republik Perancis itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa, kepimpinan dan sumbangan besar beliau dalam memperkukuh hubungan pertahanan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Perancis sepanjang perkhidmatan beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta mencerminkan kecemerlangan kepimpinan anak tempatan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar pengiktirafan berkenaan menjadi inspirasi kepada generasi muda dan warga Angkatan Tentera Malaysia untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan semangat patriotisme demi kedaulatan negara.
Anugerah Commander de la Légion d’honneur merupakan antara darjah kebesaran tertinggi yang dikurniakan oleh Republik Perancis kepada individu yang memberikan sumbangan cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, keselamatan dan hubungan antarabangsa. – KESULTANAN PAHANG








