KUANTAN, 22 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Karnival Sukan Pantai Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2026 yang berlangsung di Pantai Balok, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh para pegawai kerajaan negeri, wakil agensi badan berkanun serta peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.
Karnival sukan pantai yang berlangsung selama empat hari bermula 20 Mei hingga 23 Mei 2026 itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai agensi dan institusi badan berkanun seluruh negara.
Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).– KESULTANAN PAHANG







