PEKAN, 23 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat ke Pahang Freely Parrot yang berlangsung di Kelab Polo Diraja Pahang, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan institusi Diraja Pahang terhadap usaha memupuk kesedaran masyarakat mengenai pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar, khususnya spesies burung eksotik dan haiwan peliharaan.
Program tersebut turut menghimpunkan para pencinta burung kakak tua selain menjadi platform bagi memperkenalkan pelbagai spesies burung kakak tua serta perkongsian ilmu berkaitan penjagaan, pemuliharaan dan pembiakan spesies berkenaan.
Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa meninjau ruang pameran selain beramah mesra bersama para peserta dan pengunjung yang hadir memeriahkan program tersebut. -KESULTANAN PAHANG







