KUANTAN, 5 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat kepada Juruiring Polis Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, DSP Romie bin Jualis yang dinaikkan pangkat ke Superintenden Polis, dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Abdulaziz, hari ini.
Majlis berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi serta perkhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan oleh Superintenden Romie sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya sebagai Juruiring Polis kepada Paduka Baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyempurnakan pemakaian lencana pangkat baharu kepada Superintenden Romie sebagai simbol penghargaan atas khidmat bakti dan profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman serta beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.
Kenaikan pangkat tersebut diharap menjadi pemangkin kepada Superintenden Romie untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik serta memperkukuhkan lagi kecemerlangan pasukan Polis Diraja Malaysia pada masa hadapan. – KESULTANAN PAHANG







