KUANTAN, 12 Jun 2026 – Dua kejohanan berprestij iaitu Royal Pahang Classic Centenary Cup dan Tengku Ampuan Patron’s Cup bakal menjadi acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC).
YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, kejohanan tersebut akan menghimpunkan pasukan-pasukan polo tempatan dan antarabangsa, sekali gus memeriahkan sambutan bersejarah kelab yang telah mencapai usia satu abad.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun ke-100 RPPC yang berlangsung di East Coast Mall hari ini.
Turut hadir ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.
Sementara itu YAM Tengku Amir Naseer memaklumkan sebanyak lapan pasukan dijangka mengambil bahagian dalam Royal Pahang Classic Centenary Cup manakala antara lapan hingga 10 pasukan akan bersaing dalam Tengku Ampuan Patron’s Cup.
Perlawanan peringkat awal dijadual bermula pada 7 September di Pekan sebelum kejohanan utama berlangsung pada 25 dan 26 September depan.
Sempena sambutan 100 tahun penubuhannya, RPPC turut menganjurkan pameran khas yang memaparkan sejarah dan warisan kelab menerusi koleksi fotografi arkib serta artifak bersejarah yang menceritakan perkembangan sukan polo di Pahang sepanjang satu abad. – KESULTANAN PAHANG







