GENTING HIGHLANDS, 13 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan pembukaan Padang Golf Resorts World Awana, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; serta Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pembukaan rasmi Padang Golf Resorts World Awana yang telah melalui proses naik taraf dan pengubahsuaian menyeluruh, iaitu pembangunan semula terbesar sejak padang golf tersebut mula dibuka pada tahun 1986.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan bergambar kenangan bersama para tetamu kehormat dan pihak pengurusan Genting Malaysia Berhad.
Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan acara tee-off bagi Invitational Golf Tournament yang melibatkan pasukan dari Negeri Pahang dan Negeri Selangor, sekali gus menandakan bermulanya kejohanan persahabatan yang diadakan bersempena pembukaan padang golf tersebut.
Pada sebelah petang, Paduka Baginda berkenan berangkat ke Jamuan Diraja sebelum menyempurnakan majlis pengurniaan hadiah kepada para pemenang kejohanan serta penyampaian cenderamata kepada wakil-wakil negeri Pahang dan negeri Selangor.
Sejak mula beroperasi pada tahun 1986, Padang Golf Resorts World Awana telah melalui transformasi menyeluruh melibatkan kesemua 18 lubang permainan, termasuk reka bentuk semula kawasan green, fairway, bunker dan teeing ground, penambahbaikan susun atur terpilih serta pengenalan satu lubang baharu.
Padang golf yang telah dinaik taraf ini turut dilengkapi dengan tee Black dan Gold yang baharu, sistem saliran dan pengairan yang dipertingkatkan, kawasan green yang diperbesarkan serta penggunaan rumput Zoysia matrella yang lebih tahan lasak bagi memastikan pengalaman permainan yang lebih baik dan kualiti padang yang konsisten sepanjang tahun.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis tersebut mencerminkan sokongan berterusan Institusi Kesultanan Pahang terhadap pembangunan sektor pelancongan, rekreasi dan sukan bertaraf antarabangsa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan utama negara. – KESULTANAN PAHANG







