KUANTAN, 23 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Ketua Polis Pahang bersama semua Ketua Polis Daerah seluruh negeri Pahang di Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
Sesi mengadap sempena persaraan Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Sri Yahaya Othman itu juga berlangsung dalam suasana penuh mesra dan penuh takzim sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, bakti dan sumbangan YH Dato’ Sri Yahaya Othman sepanjang menerajui kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang.
Pada kesempatan itu, Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen, dedikasi dan khidmat cemerlang yang telah dicurahkan oleh beliau dalam memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di negeri Pahang sentiasa terpelihara.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau akan terus dimanfaatkan walaupun selepas menamatkan perkhidmatan rasmi dalam pasukan PDRM.
Sesi mengadap yang turut disertai semua Ketua Polis Daerah dari seluruh Pahang itu menjadi platform bagi mempersembahkan perkembangan semasa berkaitan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kepolisan di setiap daerah.
Paduka Baginda juga menekankan kepentingan untuk terus memperkukuhkan kerjasama erat antara pasukan polis, agensi kerajaan dan masyarakat dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan semasa, di samping memperkasakan pendekatan kepolisan berteraskan komuniti demi kesejahteraan rakyat.
Pertemuan tersebut sekali lagi mencerminkan hubungan erat antara Institusi Kesultanan Pahang dan Polis Diraja Malaysia yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan negeri Pahang Darul Makmur terus kekal aman, makmur dan sejahtera. – KESULTANAN PAHANG






