KUANTAN, 2 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar semua tanah terbiar di negeri ini dikenal pasti dan dibangunkan secara produktif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkukuh sekuriti makanan.
Paduka Baginda bertitah, usaha itu perlu melibatkan tanah milik persendirian mahupun tanah kerajaan dengan keutamaan diberikan kepada sektor yang mampu menjana hasil dan memberi manfaat kepada rakyat, termasuk perusahaan kelapa sawit, getah, kelapa, padi, buah-buahan serta tanaman bernilai tinggi.
“Seharusnya kita bertuah kerana negeri Pahang yang mempunyai keluasan kira-kira 3.6 juta hektar tanah. Aangkah malangnya jika sebahagian besar tanah di negeri Pahang ini tidak diusahakan.
“Kerajaan telah mengurniakan hak milik kepada sebahagian tanah, malangnya ada juga tanah-tanah yang terbiar. Di sinilah saya harap istilah tanah terbiar ini patut dbuka dijadikan tanah pembangunan waima apa bentuk sekali pun. Saya tak nak lihat tanah terbiar tidak dimajukan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang bagi mendengar persembahan taklimat berkaitan pengurusan dan pembangunan tanah di negeri ini
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah pemberian hak milik tanah tidak akan memberi manfaat sekiranya pemilik gagal memajukannya atau tidak memenuhi tanggungjawab seperti menjelaskan cukai berkaitan.
“Oleh itu, kajilah sebaik-baiknya supaya penyelesaian yang dilaksanakan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu kerajaan negeri dan rakyat. Setiap inci tanah yang kita miliki mempunyai potensi untuk diusahakan,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG






