TEMERLOH, 30 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian masjid baharu Kampung Desa Murni yang dimahsyurkan dengan nama Masjid At-Taqwa serta Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Baginda Ke-67, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Turut sama ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan suami YH Tuan FD Idzham FD Iskandar; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta barisan kepimpinan kerajaan negeri serta penduduk setempat.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda bertitah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama meraikan pembukaan sebuah lagi rumah Allah yang disifatkan bukan sekadar sebuah binaan yang indah, bahkan menjadi pusat penyatuan ummah, penyuburan ilmu, pemerkasaan akidah serta benteng dalam membentuk masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan usaha sehingga pembinaan masjid tersebut berjaya direalisasikan demi manfaat masyarakat setempat.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Kampung Desa Murni atas kejayaan mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa Peringkat Kebangsaan 2026, selain memenangi Anugerah Desa Mampan dan Anugerah Profiling Komuniti Desa.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa apabila masyarakat bersatu hati, berganding bahu dan meletakkan kepentingan bersama mengatasi kepentingan diri, tiada sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh kampung di negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mendoakan agar Masjid Al-Taqwa terus menjadi mercu keimanan yang menghidupkan syiar Islam, melahirkan generasi berilmu, beriman dan berintegriti serta menjadi pusat pembangunan ummah yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat. – KESULTANAN PAHANG






