TEMERLOH, 31 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya sentiasa mengamalkan sikap tabayyun serta tidak mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita yang belum dipastikan kesahihannya, khususnya dalam era digital yang semakin mencabar.
Paduka Baginda bertitah, perkembangan teknologi komunikasi dan kecerdasan buatan (AI) telah menjadikan penyebaran maklumat berlaku dengan begitu pantas sehingga sukar membezakan antara fakta dan rekaan.
Menurut Paduka Baginda, penyebaran berita yang tidak sahih, rakaman yang dimanipulasi serta kenyataan yang diputarbelitkan bukan sahaja boleh mencetuskan kekeliruan, malah berupaya merosakkan perpaduan dan memecah-belahkan masyarakat.
Paduka Baginda mengingatkan bahawa Allah SWT telah memerintahkan umat Islam menerusi Surah Al-Hujurat ayat 6 agar menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Saya menyeru agar rakyat negeri Pahang menjadi masyarakat yang tidak mudah melatah, tidak cepat menghukum dan tidak menjadi penyambung kepada berita yang belum pasti.
“Janganlah tangan kita menjadi penyebar fitnah, sedangkan mulut kita mengaku mencintai agama.
“Peribahasa Melayu mengingatkan, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Pada zaman ini, terlajak menekan butang “kongsi” juga mampu meninggalkan kesan yang lebih besar daripada terlajak kata,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Desa Murni sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Baginda Ke-67 di Temerloh, hari ini. – KESULTANAN PAHANG







