KUANTAN, 31 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2026 kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi-agensi penguatkuasaan serta semua anggota pasukan keselamatan yang telah dan sedang berkhidmat dengan penuh keberanian, kesetiaan dan keikhlasan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Paduka Baginda berdua turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menjunjung tinggi segala jasa, pengorbanan dan bakti para pahlawan negara yang telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga demi mempertahankan keamanan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air yang tercinta.
Hari Pahlawan bukan sekadar suatu sambutan tahunan, bahkan merupakan medan untuk seluruh rakyat mengenang serta menghargai pengorbanan insan-insan yang telah mengangkat sumpah setia mempertahankan tanah air, biarpun terpaksa mengorbankan masa, tenaga, kebahagiaan keluarga, malah nyawa mereka sendiri.
Keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati negara pada hari ini bukanlah suatu nikmat yang hadir dengan mudah. Ia dibina di atas semangat juang, keberanian, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak ternilai daripada para perwira yang sanggup berdiri di barisan hadapan demi memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di bumi Malaysia yang berdaulat.
Sesungguhnya, jasa para pahlawan akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara dan kekal terpahat di hati setiap rakyat yang menghargai erti sebuah kemerdekaan. Semoga semangat patriotisme, keberanian dan kecintaan terhadap negara yang mereka wariskan akan terus menyala dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar sentiasa mempertahankan perpaduan, keharmonian dan kedaulatan tanah air daripada sebarang ancaman.
Marilah kita bersama-sama menadah tangan mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh para pahlawan yang telah kembali ke rahmatullah, mengurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya atas segala pengorbanan mereka serta terus memelihara dan melindungi seluruh anggota pasukan keselamatan yang sedang menggalas amanah mempertahankan negara dengan penuh keberanian dan keikhlasan. – KESULTANAN PAHANG






