TEMERLOH, 31 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyeru umat Islam dan orang Melayu agar terus mempertahankan perpaduan, memelihara maruah bangsa serta menghormati kedudukan Islam dan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kestabilan negara.
Paduka Baginda bertitah, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, mempersendakan syiar Islam atau mempertikaikan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak yang secara terbuka memperlekehkan agama Islam, menghina institusi Melayu serta mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Janganlah kita terlalu ghairah mempertahankan kelompok sehingga lupa mempertahankan agama. Janganlah kita terlalu sibuk mencari kesalahan saudara sendiri sehingga terlupa membina kekuatan bersama.
“Jangan kerana berbeza warna bendera, kita memutuskan silaturahim. Jangan kerana berbeza pandangan, kita menggadaikan perpaduan.
Peribahasa Melayu menyebut ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Ungkapan ini bukan sekadar warisan kata-kata orang tua, tetapi merupakan formula yang telah membina kekuatan bangsa sejak zaman-berzaman,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Desa Murni sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Baginda Ke-67 di Temerloh, hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa tidak akan tumbang semata-mata kerana kekuatan musuh, sebaliknya akibat perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.
“Jika umat Islam terus berpecah, maka suara kita akan semakin lemah. Jika bangsa Melayu terus bertelagah, maka maruah yang diwarisi daripada nenek moyang akan semakin punah.
“Sebaliknya, apabila kita bersatu atas asas ilmu, adab, keadilan dan kasih sayang, maka kita bukan sahaja mampu mempertahankan agama dan bangsa, malah mampu membangunkan negeri yang lebih makmur untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menyeru agar umat Islam tidak hanyut dalam perselisihan yang tidak membawa manfaat, sebaliknya bersatu atas asas ilmu, adab, keadilan dan kasih sayang demi mempertahankan agama, memelihara maruah bangsa serta memastikan kemakmuran negeri dan negara terus berkekalan. – KESULTANAN PAHANG






