KUANTAN, 1 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang hari ini bertitah menegaskan bahawa tanah negeri merupakan amanah dan maruah yang tidak boleh digadai atau dikuasai secara sewenang-wenangnya.
Paduka Baginda bertitah, tanah bukan sekadar hamparan bumi yang dipijak tetapi lambang kedaulatan negeri, sumber rezeki rakyat serta warisan yang perlu dipelihara.
“Setiap inci tanah negeri Pahang wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan atau penguasaan secara haram. Tanah bukan sekadar hamparan bumi yang dipijak. Tanah ialah maruah negeri, lambang kedaulatan, sumber rezeki rakyat dan warisan yang dipertanggungjawabkan kepada kita untuk dipelihara, bukannya diperdagangkan sesuka hati.
“Atas prinsip itulah, beta menegaskan bahawa setiap inci tanah negeri pahang wajib dipertahankan dan sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan atau penguasaan tanah secara haram tidak akan sesekali dibiarkan. Undang-undang tidak boleh tunduk kepada tekanan, tidak boleh kalah kepada kepentingan, dan tidak boleh dibeli dengan pengaruh atau kekayaan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri pahang telah membuktikan bahawa ketegasan bukan sekadar retorik. Pelbagai operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri tanpa memilih siapa pelakunya, tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, tindakan tersebut bukan bertujuan menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya bagi mengembalikan hak yang telah lama dirampas daripada negeri.
Sehubungan itu juga, Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pejabat Tanah dan Galian, semua Pejabat Daerah dan Tanah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perhutanan serta seluruh agensi berkaitan yang melaksanakan amanah dengan penuh keberanian, ketegasan dan integriti.
Paduka Baginda turut menjunjung tinggi usaha pihak berkuasa yang mengambil pendekatan tegas tetapi berhemah dalam menangani isu-isu berkaitan tanah berlandaskan undang-undang, penerangan telus serta penyampaian fakta yang tepat kepada rakyat.
“Beta menyeru seluruh rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tular di media sosial atau naratif yang sengaja dibentuk bagi membangkitkan sentimen tertentu.
“Lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir pihak yang sanggup menjadi ‘api dalam sekam’, kelihatan seolah-olah memperjuangkan nasib rakyat tetapi hakikatnya mengeruhkan lagi keadaan, menggalakkan penerokaan haram dan mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pihak yang berselindung di sebalik nama pertubuhan atau kepentingan tertentu dengan membangkitkan kekeliruan, menggalakkan penerokaan haram atau mencampuri urusan penguatkuasaan.
“Perbuatan seperti ini bukanlah suatu perjuangan, sebaliknya satu pengkhianatan terhadap kepentingan negeri dan keluhuran undang-undang. Sesiapa yang menghasut rakyat supaya melanggar undang-undang, menjadi pelindung kepada penceroboh, menyebarkan fakta yang mengelirukan atau sengaja mengapi-apikan keadaan demi kepentingan tertentu hendaklah disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
“Janganlah kerana mengejar tepukan sementara, akhirnya negeri ini menanggung perpecahan yang berpanjangan. Janganlah kerana mahu menjadi jaguh di hadapan khalayak, akhirnya menjadi dalang yang menggadaikan hak negeri dan mengkhianati amanah rakyat.
“Dalam soal kedaulatan tanah dan maruah negeri Pahang, pendirian beta tetap sama; undangundang hendaklah ditegakkan tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan tanpa sebarang kompromi kerana apabila undang-undang mula dipilih-pilih untuk dilaksanakan, ketika itulah keadilan mula kehilangan maknanya, dan apabila keadilan rebah, maruah sesebuah negeri turut runtuh bersamanya,” tegas Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






