ROMPIN, 18 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘tanah adat’ sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, khususnya berhubung status dan hak pemilikan tanah.
Paduka Baginda bertitah, di Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Pahang, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) tidak memperuntukkan suatu kategori tanah yang dinamakan ‘tanah adat’, sebaliknya memperuntukkan Kawasan Orang Asli di bawah Seksyen 6 dan Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7.
“Saya ingin menyentuh kebelakangan ini banyak sangat isu-isu berkaitan dengan tanah dan pencerobohan tanah di Negeri Pahang kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan hubungan dan juga anggapan kepada pihak istana dan pihak kerajaan.
Dari dulu sehingga kini kita tidak pernah menganiayai mana-mana orang masyarakat Orang Asli.
“Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘tanah adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki dan digunakan secara automatik sudah menjadi hak milik,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda sekali lagi menegaskan bahawa perkara tersebut perlu diperjelaskan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kita sudah mempunyai undang-undang dan hukum kanun negara, kita tertakluk kepada itu. Kerajaan Negeri tidak pernah berniat menafikan orang asal, orang kita. Hak dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut Perlembagaan serta undang-undang. Perlembagaan sendiri membenarkan peruntukan khusus bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli termasuk perizaban tanah.
“Namun demikian, hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Di bawah Akta 134, Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam Kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli. Justeru, suatu tuntutan tidak boleh diterima hanya kerana sesuatu kawasan disebut sebagai tanah adat,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli 2026 di Padang Awam Kampung Sungai Mok, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut bertitah mengingatkan mana-mana pihak sama ada pihak individu, pertubuhan atau pihak berkepentingan mengelirukan masyarakat Orang Asli dengan memberikan gambaran bahawa setiap kawasan yang mereka tuntut merupakan tanah adat yang secara automatik menjadi hak milik mereka.
“Saya harap ini dapat diingati oleh semua pihak keluarga orang masyarakat orang asal supaya tidak ada orang yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan, menyusahkan lagi pihak individu dan pihak keluarga tempatan.
“Saya ingin memberi contoh iaitu apabila berlakunya pihak orang kita bergaduh sesama sendiri. Penerokaan berlaku besar-besaran bersama orang luar, iaitu ‘tauke’ di belakangnya. Menggunakan golongan wanita serta kanak-kanak sebagai medium untuk mempertahankan pencerobohan mereka.
“Saya harap ini dihentikan. Saya tidak mahu perkara-perkara seperti berlakunya di Jemeri, di Rompin dan di Kampung Cot di Maran berulang di tempat lain. Pihak berkuasa harus memainkan peranan lebih pantas untuk mengelakkan perkara ini berlaku berulang lagi,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG








