PEKAN, 7 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan berangkat menyaksikan perlawanan pembukaan Kejohanan Polo Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 yang berlangsung di Royal Pahang Polo Club, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Royal Pahang Polo Club iaitu ceremonial throw-in sebagai simbolik bermulanya kejohanan.
Pada acara berkenaan turut ditampilkan pertunjukan payung terjun terjun bebas oleh Pasukan Khas Udara (PASKAU) dari helikopter EC725.
Pertunjukan berkenaan menyaksikan anggota PASKAU melakukan pendaratan di padang polo sebelum memberi tabik hormat kepada Paduka Baginda sambil membawa bendera Royal Pahang Polo Club.
Perlawanan pembukaan menyaksikan pasukan Royal Pahang Polo Club menewaskan Brunei Polo Club dengan jaringan 10-5.5.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Citaglobal Windhorse menewaskan Selangor Polo Club dengan mata tipis 8-7. – KESULTANAN PAHANG







