PEKAN, 26 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan rasa syukur kerana perancangan penganjuran Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang berjaya direalisasikan.
Paduka Baginda bertitah, kejohanan berkenaan merupakan kemuncak kepada perancangan yang telah dibuat sejak bertahun-tahun lalu, sekali gus menjadi detik bermakna kerana Paduka Baginda berpeluang menyertai kejohanan bersempena sambutan satu abad kelab berkenaan bersama anakanda-anakanda.
“Alhamdulillah, kita dapat lunaskan perancangan kita. Bertahun-tahun kita merancang, sejak tahun 70-an, kemudian tahun 80-an dan sekarang 100 tahun.
“Saya sangat bersyukur kerana sempat sampai ke tahun ini dan dapat bermain dengan anak-anak saya,” titah Paduka Baginda ketika ditemui media selepas berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 di Royal Pahang Polo Club di sini hari ini.
Perlawanan akhir kejohanan menyaksikan pasukan Royal Pahang dan Jogo Polo berkongsi kejuaraan selepas terikat seri 7-7, manakala Royal Pahang II dan Sri Bendahara turut berkongsi tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, meskipun kejohanan berlangsung dengan baik, keadaan cuaca yang tidak menentu akibat jerebu dan hujan berterusan menyebabkan beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan.
Bagaimanapun, Paduka Baginda bersyukur kerana semua pertandingan berlangsung dengan selamat tanpa kecederaan serius melibatkan pemain mahupun kuda yang menyertai kejohanan.
“Semua selamat, tidak ada kecederaan yang serius dan kuda-kuda pun nampak semuanya elok, tidak ada kecederaan yang teruk,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat sukan polo dan rakyat Pahang atas sokongan berterusan terhadap Kelab Polo Diraja Pahang serta berharap sokongan itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
Mengulas mengenai hasrat untuk bersara daripada menyertai pertandingan polo selepas sambutan ulang tahun ke-100 kelab berkenaan, Paduka Baginda bertitah bahawa perancangan itu masih kekal, meskipun anakanda-anakanda sedang memujuk Paduka Baginda untuk terus bermain.
“Saya memang bercadang nak bersara. Tapi tak tahulah, anak saya tengah memujuk saya. Saya kira sudah bersara dan tidak akan menyertai pertandingan lagi.
“Cuma bagi sokongan dan menunggang sedikit, sesekali bermain polo sekejap-sekejap, tetapi tidak menyertai pertandingan,” akhiri Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







