KUANTAN, 29 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Shikata Noriyuki; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib; Presiden Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd;, Mr. Tomoyuki Kashimura serta Pengerusi Kaneka Corporation, Mr. Kimikazu Sugawara.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan menyempurnakan gimik Sambutan Ulang Tahun ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd yang menandakan tiga dekad syarikat beroperasi dan menyumbang kepada perkembangan sektor perindustrian di negeri Pahang.
Dalam majlis sama, turut berlangsung pengurniaan cek cura berjumlah RM1 juta sumbangan Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan, penyelidikan dan modal insan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan serta pencapaian Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd sepanjang 30 tahun beroperasi di Pahang sebelum Paduka Baginda berkenan ke santapan diraja.
Paduka Baginda turut berkenan berangkat melawat reruai pameran yang memaparkan produk, teknologi serta pencapaian syarikat sebelum meneruskan lawatan ke bilik kawalan (Control Room) kilang Kaneka bagi melihat dengan lebih dekat operasi serta sistem pemantauan pengeluaran kilang berkenaan.
Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada Kaneka Corporation, sebuah syarikat berpangkalan di Jepun yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahan kimia, bahan berprestasi tinggi serta produk penjagaan kesihatan dan pemakanan. – KESULTANAN PAHANG







