KUALA LUMPUR, 1 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan Pementasan Bangsawan Diraja Beting Beras Basah – Hikayat Dewa Mahkota yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, malam tadi.
Kebawah Duli Paduka Baginda bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim berangkat ke Panggung Sari bagi menyaksikan pementasan berkenaan yang berlangsung kira-kira dua jam.
Pementasan yang bermula pada pukul 8.45 malam itu mengangkat hikayat pembentukan Negeri Perak dan kemunculan Raja Muzaffar Shah sebagai Sultan Perak yang pertama menerusi kisah yang menggabungkan legenda alam kayangan dengan sejarah manusia, sekali gus menelusuri asal-usul kedaulatan, adat dan warisan Kesultanan Perak.
Pementasan ini turut mengetengahkan nilai daulat, amanah, pengorbanan dan tanggungjawab seorang raja dalam memayungi rakyat serta negeri, di samping menonjolkan kepentingan memelihara sejarah dan tradisi Kesultanan Melayu sebagai warisan bangsa.
Pementasan Bangsawan Diraja ini juga menjadi wadah untuk mengangkat seni persembahan tradisional ke pentas yang lebih luas sekali gus memastikan khazanah seni dan budaya Melayu terus dihargai serta diwarisi oleh generasi akan datang. -KESULTANAN PAHANG







