KUANTAN, 2 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Nurul Huda Roslan atas kejayaan meraih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar pada Konvokesyen Kali Ke-20 Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar 2026.
Pada majlis sama, seramai 30 pelajar Malaysia turut menerima pengiktirafan atas kecemerlangan masing-masing dalam pelbagai bidang pengajian, termasuk bahasa dan pengajian Islam.
Nurul Huda merupakan anak jati Temerloh yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Ulum Islam dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Paduka Baginda berdua bertitah, kejayaan ini membuktikan keupayaan anak Pahang mencipta kecemerlangan dalam bidang ilmu sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negeri Pahang dan Malaysia.
Kejayaan Nurul Huda juga diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya anak-anak Pahang, untuk terus berusaha menuntut ilmu, membina kecemerlangan akademik serta menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut berharap agar kejayaan itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak Pahang untuk melakar pencapaian membanggakan di persada antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan pengajian Islam. – KESULTANAN PAHANG






