KUALA LUMPUR 21 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyeru agar generasi muda perlu menyeimbangkan kecemerlangan ilmu dengan semangat patriotisme yang utuh, kesetiaan kepada institusi raja dan negara serta penghargaan tinggi terhadap agama dan perlembagaan.
Paduka Baginda bertitah, dalam keghairahan mengejar kemajuan dan menempuh cabaran dunia yang semakin kompleks ini, jadilah generasi yang bukan sahaja tinggi ilmunya, tetapi turut tebal semangat patriotismenya, teguh kesetiaannya kepada raja dan negara, serta luhur penghormatannya terhadap agama dan perlembagaan.
“Ingatlah, negara yang kita nikmati hari ini bukan terbina dalam sehari. Keamanan yang dikecapi bukan datang bergolek, dan kemerdekaan yang diwarisi bukan diperoleh tanpa pengorbanan.
“Semuanya terbina atas perjuangan, kebijaksanaan dan permuafakatan generasi terdahulu yang wajib kita hargai serta pelihara.
Justeru, janganlah menjadi seperti kaduk naik junjung..apabila diberikan ruang dan kebebasan, semakin tinggi menjulang, semakin lupa akan akar tempat berpaut. Janganlah setelah menikmati segala nikmat keamanan dan kemakmuran negara, kita menjadi terlalu angkuh sehingga sewenang-wenangnya memperlekehkan warisan, mempertikaikan institusi dan meremehkan asas kenegaraan yang selama ini memayungi kehidupan kita,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur Ke-23 di sini hari ini.
Berangkat mengiring ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Paduka Baginda mengingatkan bahawa kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati, keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab, dan kebijaksanaan bukan diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan segala perkara tanpa asas ilmu dan fakta.
“Tidak semua yang melawan arus itu pejuang, tidak semua yang lantang bersuara itu benar, dan tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak.
“Kita tidak pernah menolak perbezaan pandangan atau teguran yang membina. Namun, mengkritik biarlah berfakta, menegur biarlah beradab, dan berbeza pendirian jangan sampai hilang pertimbangan,” titah baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan kepada para mahasiswa supaya tidak hanya menjadi generasi yang hebat menggenggam segulung ijazah tetapi gagal memahami harga sebuah kedaulatan.
“Gunakanlah ilmu untuk membina negara, menyatukan masyarakat; bukannya meruntuhkan perpaduan dan menyemarakkan permusuhan,” titah baginda. – KESULTANAN PAHANG






