KUALA LUMPUR 21 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini.
Anugerah Ijazah Kehormat yang merupakan satu pengiktirafan tertinggi itu dianugerahkan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan unggul Paduka Baginda sebagai Canselor Pertama sejak tahun 2004 hingga 2025.
Penganugerahan itu dipersembahkan pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 di sini.
Berangkat mengiring ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut dimasyhurkan sebagai Canselor UniKL baharu menggantikan Paduka Ayahanda.
Sementara itu, Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut kerana ia bukan sekadar pengiktirafan tetapi kerana ikatan kasih dan sejarah yang terjalin sepanjang bersama universiti ini.
“Bagi saya, kemuliaan sesuatu anugerah bukan terletak pada gelaran yang disandang, tetapi pada amanah yang dijunjung dan bakti yang disumbangkan…kerana pada akhirnya, bukan pangkat yang mengangkat martabat insan, tetapi ilmu, keikhlasan dan jasa yang ditinggalkan.”
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation, Lembaga Pengarah, Senat Universiti serta seluruh warga UniKL atas penghormatan yang bermakna ini,” titah baginda. – KESULTANAN PAHANG






