KUANTAN 27 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan upacara penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 2 Tahun 2025 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAELF) di Felda Sungai Panching Timur di sini semalam.

Paduka Baginda bertitah bahawa eksesais tersebut melambangkan eratnya hubungan dua hala di antara Malaysia dan UAE.

Kesediaan kedua-dua negara untuk berkongsi ilmu pengetahuan, taktik ketenteraan serta aset-aset strategik merupakan langkah penting dalam memperkukuh keselamatan antara kedua negara malah juga di peringkat serantau serta global.

Eksesais ini merupakan latihan dua hala di antara TDM dan UAELF yang melibatkan seramai 77 pegawai dan 766 anggota dari kedua-dua negara.

Latihan ini berlangsung dari 14 April hingga 26 April 2025 di beberapa lokasi di sekitar Kuantan dan merupakan siri kedua di Kuantan selepas pelaksanaan siri pertama pada 2023.
Berangkat sama, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KESULTANAN PAHANG