KUANTAN, 10 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Qurban Care For Ummah di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda disambut Yang Dihormati Che Puan Tengah Hajah Rohaya Binti Dato’ Abd Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad.


Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan menyerahkan 200 pek makanan sedia dimakan hasil penyertaan korban masyarakat Malaysia bersama MyFundAction kepada anak-anak di rumah kanak-kanak ini.

Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan sesi penyerahan dan pertukaran dokumentasi usahasama di antara Pengarah JKM Pahang dan Pengasas MyFundAction, Dr Hj. Mohd Hizul Azri Hj MD Noor.

Di kesempatan sama, Paduka Baginda berkenan ‘menyinsing lengan’ memasak menu istimewa iaitu Sup Daging Tengku Ampuan Pahang untuk anak-anak yang ditempatkan di rumah ini. – KESULTANAN PAHANG
