TEMERLOH, 13 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli melawat dan mengurniakan sumbangan kepada 210 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian ribut pada Isnin lalu.

Keberangkatan Paduka Baginda ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas hari ini diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Pada majlis berkenaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli mengenai kejadian ribut yang berlaku, kesan serta bantuan yang telah disalurkan kepada mangsa.

Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan rasa simpati dengan kejadian tersebut dan meminta semua mangsa tabah dengan ujian yang daripada Allah SWT.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa rakyat saya di sini, agak terkejut (ribut) berlaku selepas sahaja kita sambut raya Aidiladha. Sudah tentu kesedihan ini agak terasa juga kerana tak sempat berhari raya dalam keadaan lebih sempurna… namun ini semua adalah kehendak Allah SWT.

“Jangan berasa marah, kecewa… ini semua ujian Allah, mesti ada rahmat disebaliknya. Kita perlu bersabar sahaja. Cuaca seperti ini berlaku di mana sahaja. Alhamdulillah setakat ini tiada kemalangan nyawa,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda turut bertitah agar pemberian sebarang bentuk sumbangan kepada kesemua mangsa ribut berkenaan dapat disegerakan.

“Difahamkan pihak kerajaan akan menghulurkan segala bantuan. RM300 sudah disalurkan harap baki dapat disalurkan secepat mungkin.

“RM5,000 untuk baiki rumah yang rosak harap dapat cepatkan jangan sebab biorokasi menyusahkan rakyat saya. Harap dapat dipercepatkan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu khususnya pejabat daerah, polis, APM dan NGO yang membantu. Saya mendoakan kita semua dalam keadaan sihat walafiat dan harus terus bersabar dan beristiqamah atas ujian,” titah Paduka Baginda.

Sementara itu Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris dua mangsa kemalangan yang berlaku di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat.

“Saya terkejut dan dukacita atas kematian dua anak gadis akibat kemalangan jalan raya. Dugaan ini lebih berat. Takziah kepada keluarga. Allah lebih menyanyangi kedua-dua mangsa,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG