KUANTAN, 5 Ogos 2025 – Dengan penuh rasa takzim dan junjung kasih, patik sekalian pacal-pacal warga Majlis Kesultanan Pahang merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-65 pada hari ini 5 Ogos 2025 bersamaan 11 Safar 1447H.
Sesungguhnya, patik sekalian amat menjunjung kasih atas keprihatinan dan kelembutan santun Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang sentiasa menzahirkan kasih sayang, kepedulian serta sokongan padu kepada seluruh rakyat jelata, khususnya dalam aspek kebajikan, kemanusiaan dan pemerkasaan wanita serta keluarga di negeri Pahang Darul Makmur dan tanah air tercinta ini.
Patik sekalian dan seluruh warga MKP memohon ke hadrat Allah SWT agar Kebawah Duli Paduka Baginda dikurniakan keberkatan usia, dikekalkan dalam kesejahteraan dan kesihatan yang sempurna, sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya serta terus diberi ilham dan kekuatan dalam menyempurnakan peranan sebagai Tengku Ampuan Pahang yang dikasihi lagi disanjungi.
Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan kemuliaan ke atas Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta menjadikan Negeri Pahang kekal aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan kasih diraja Kebawah Duli Tuanku. – KESULTANAN PAHANG







