MEMASAK bukan satu aktiviti asing atau luar biasa bagi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, malah ia adalah kebiasaan bagi Paduka Baginda khususnya untuk menjamu keluarga, kenalan bahkan tetamu di istana.
Bukan hanya orang kenamaan, Paduka Baginda sentiasa menyinsing lengan baju masuk ke dapur masak bersama-sama cef dan tukang masak untuk pekerja-pekerja di istana.
Paduka Baginda juga sentiasa membuat hantaran berbentuk video yang memaparkan aktiviti Paduka Baginda memasak dan terkini, Paduka Baginda berkongsi bagaimana penghasilan acar buah berkenaan dari air tangan Paduka Baginda sendiri.
Dibantu sekumpulan Cef Istana Abdulaziz yang digelar ‘Geng Ular’, Paduka Baginda sentiasa teliti dalam menyiapkan menu yang ingin dihidangkan.
Penyertaan Paduka Baginda dalam Pertandingan Masakan Acar baru-baru ini sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) di Taman Tasik Maran hanya kebetulan.
Sementelah Paduka Baginda baharu sahaja menyiapkan berbotol-botol acar buah maka tanpa pengetahuan sesiapa, secara diam-diam Paduka Baginda melalui seorang ahli WI menghantar penyertaan menggunakan nama ‘Aminah Mahmood’ dari Maran.
Bagaikan tertulis, sudah menjadi rezeki air tangan Paduka Baginda walaupun umum tidak mengetahuinya, masakan tersebut berjaya menawan selera juri.
Bukan hanya juri, Paduka Baginda sendiri terkejut apabila hidangan tersebut dipilih sebagai pemenang tempat pertama.
Masakan tidak, acar buah berkenaan dihantar untuk bertanding pada waktu pagi dan Paduka Baginda bermesyuarat sehingga terlupa perihal acar buah berkenaan.
Semua 11 peserta hanya membawa acar buah yang siap dimasak dan dihidangkan mengikut kreativiti masing-masing untuk dipertandingkan.
Acar buah Paduka Baginda tidak diletakkan dalam mangkuk khas istana tetapi dalam bekas biasa (pyrex) seorang penduduk kampung di situ. – KESULTANAN PAHANG