JERANTUT, 11 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menempelak pihak yang sengaja menimbulkan perbalahan sekali gus membawa perpecahan.
“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.

“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. ‘Berdialoglah: guna akal dan hati, bukan-nya ‘bermonolog’ guna nista dan benci” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdulrrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau.

Keberangkatan Paduka Baginda ke masjid berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama mengiring ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Paduka Baginda dalam titah menyeru kepada semua pemimpin, khususnya pemimpin-pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang telah lama terbina.
“Saya menyambut baik kenyataan YAB Menteri Besar Pahang baru-baru ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa malapetaka. Kita tidak mahu,sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan semua rakyat, tidak kira muslim atau bukan muslim agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi sehingga meruntuhkan keharmonian yang dibina hasil daripada sikap saling menghormati dan toleransi selama ini.

“Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah Paduka Baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan bahawa negeri Pahang akan terus bernaung di bawah kedaulatan dengan agama Islam tetap teguh menjadi tiang seri yang menyuluh jalan kehidupan rakyatnya.

“Sesungguhnya dalam mendukung kemuliaan agama yang suci ini, kita ber-tanggungjawab memastikan setiap jiwa yang bernaung di bumi bertuah ini mendapat hak yang sewajarnya agar tanah ini terus subur dengan kemakmuran, bernafas dalam ketenangan, dan berdiri megah dalam keharmonian.
“Marilah kita bersama-sama menjadi benteng kepada keamanan, mengangkat panji perpaduan dan menjunjung tinggi ajaran Islam yang penuh hikmah sebagai pedoman,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG