KUANTAN 9 Mac 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli memasak bubur lambuk Pahang khas untuk juadah berbuka puasa bagi penghuni Penjara Penor di sini hari ini.

Turut mengiring ialah YAM Tengku Puteri Raja Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Paduka Baginda dibantu kira-kira 50 prospek yang mula memasak sejak pukul 7.30 pagi itu berjaya menyiapkan kira-kira 2,000 bekas.

Selepas siap memasak pada pukul 1 petang, Paduka Baginda sendiri mengagihkan kepada sebahagian prospek dengan dibantu oleh YAM Tengku Puteri Ilisha.

Untuk rekod, Program Memasak Bubur Lambuk KDPB Tengku Ampuan Pahang Bersama Penghuni Penjara ini bermula pada tahun 2023 membabitkan Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang, Terengganu. – KESULTANAN PAHANG
