KUANTAN 30 Julai 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan para penerima darjah kebesaran dan pingat di negeri ini agar menjaga amanah yang dikurniakan.

Paduka Baginda bertitah, ia bukanlah sekadar satu penghargaan namun di sebaliknya terletak amanah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya.
“Beta ingin menegaskan bahawa penghargaan ini juga membawa tanggungjawab yang besar, ianya memerlukan kalian semua untuk terus berusaha dalam menjaga nilai-nilai kesetiaan, kehormatan dan keadilan dalam setiap tindakan.
“Ia bukannya menjadikan anugerah dunia ini sebagai asbab keangkuhan dan besar diri sebaliknya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat.
“Beta ingin ingatkan juga di sini, beta tidak sesekali berkompromi dan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sekiranya terdapat salah laku yang menjejaskan nama baik institusi beraja dan negara dalam kalangan penerima,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini. – KESULTANAN PAHANG