KUANTAN, 16 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar segala ajaran sesat yang masih berlaku dihentikan serta merta.
Paduka Baginda menegaskan tidak mahu sebarang ajaran sesat bertapak di negeri ini malah apa yang telah berlaku kini perlu diatasi segera.
“Jangan dewa-dewakan dan taksub dengan mana-mana pemimpin..saya bimbang dengan keadaan semasa kini. Saya menunggu laporan polis berkaitan kes ajaran sesat yang dikesan.
“Di Pahang suatu ketika dulu ada 34 (gerakan) ajaran sesat, Alhamdulilah hari ini dah tinggal enam yang masih aktif, yang saya sedih tu ada dua di Pekan tempat saya lahir. Saya minta pihak polis dan pihak berkuasa agama siasat ajaran-ajaran ini. InsyaAllah ia akan dapat diselesaikan dengan baik tanpa menganiaya atau mengaibkan sesiapa,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama mengiring Paduka Baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah dan Tokoh Maulidur Rasul serta hadiah pertandingan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.
Sementara itu Paduka Baginda dalam titah turut menyeru terutamanya golongan muda selaku tunjang masa depan agar menjadikan keperibadian Nabi Muhammad sebagai asas dalam membentuk sahsiah dan jati diri.
“Golongan muda perlu dibentuk dengan sahsiah yang baik, iman yang kukuh dan akhlak yang terpuji agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.
“Namun pada saat ini, saya berasa sugul dan amat khuatir apabila melihat perubahan dalam masyarakat masa kini, di mana banyak cabaran yang dihadapi oleh anak muda kita,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan tanggungjawab menjaga syiar Islam tidak boleh dipisahkan atau dipecahbelah atas dasar fahamam politik atau perbezaan ideologi.
“Tidak kiralah apa warna dan logo bendera, kita sebagai umat Islam perlu meletakkan agama sebagai asas kehidupan dan tidak membiarkan perbezaan politik menjadi asbab kelemahan perpaduan umat.
“Saya amat berharap agar semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik di negeri Pahang khususnya dapat bersatu dalam menjaga kesucian Islam,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG