KUANTAN, 25 Oktober 2024 – Pasangan pengantin Diraja, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan meneruskan Istiadat Perkahwinan Diraja dengan Istiadat Berinai yang diadakan di Balai Temenggong, Istana Abdulaziz di sini malam ini.

Istiadat Berinai dimulakan dengan pengantin perempuan dibawa masuk ke Balai Temenggong pada pukul 8.20 malam sebelum Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyapu inai ke tapak tangan YM Tengku Natasya.

Istiadat berinai diteruskan oleh ibu pengantin perempuan, Datin Seri Utama Anggraini Sentiyaki, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Hajah Aishah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, YAM Tunku Besar Zabedah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Sri Hajah Nong Fatimah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Dato’ Sri Hajah Shahariah Binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta ibu saudara Pengantin perempuan, Raden Ayu Laksmi Notokusomo.



Pengantin perempuan kemudiannya dibawa meninggalkan Majlis Berinai sebelum YAM Pengantin Putera Diraja dibawa masuk untuk meneruskan Istiadat Berinai.

Istiadat Berinai YAM Pengantin Putera Diraja kemudiannya disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang berkenan menyapu inai ke tapak tangan YAM Tengku Arif Bendahara diikuti Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.



Istiadat Berinai pengantin lelaki diteruskan oleh bapa pengantin perempuan, YM Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.


Lilin yang dihidupkan oleh 16 orang Jejawat Lilin pada Istiadat Berinai malam ini menyaksikan tradisi Perkahwinan Diraja terus dikekalkan.

Lilin dihidupkan sebaik sahaja YAM Tengku Arif Bendahara berangkat masuk ke Balai Temenggong.

Istiadat Perkahwinan Diraja diteruskan Ahad ini dengan Istiadat Persandingan yang turut akan diadakan di Istana Abdulaziz. -KESULTANAN PAHANG