KUANTAN, 22 Oktober 2024 -YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Istiadat Meletak Kerja di Istana Abdulaziz di sini hari ini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Istiadat Meletak Kerja dilakukan sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan yang bakal dinikahkan pada 24 Oktober 2024.

YAM Tengku Panglima Raja membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja dengan diiringi YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan YAM Tengku Arif Temenggung Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.


Sebaik sahaja bendera dinaikkan sebanyak 16 das tembakan meriam dilepaskan dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim. – KESULTANAN PAHANG
