KUANTAN, 8 Oktober 2024 – Istiadat Perkahwinan Putera Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Selasa 22 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat Letak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan.
Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.
Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober 2024 dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober 2024.
Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam
Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan, Pahang.
Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Muzium Diraja sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.
Istiadat Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober 2024. – KESULTANAN PAHANG