CAMERON HIGHLANDS, 21 Oktober 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa jalan penyelesaian yang diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap isu 32 peniaga di Cameron Highlands perlu dipatuhi dan dihormati.

“Saya dah dengar taklimat oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) tentang status isu ini. Saya bukan nak menyalahkan atau menunding jari kepada mana-mana pihak, perkara ini sudah diselesai ikut peraturan.
“Saya sudah mendengar dari segi prosesnya, pemilihannya. Kerajaan Negeri cari jalan terbaik untuk semua pihak termasuklah mereka yang tidak dapat peluang ini.

“Kita cari jalan terbaik untuk menyelesailan masalah ini contohnya cari tempat lain untuk peniaga, ini (lokasi sesuai) akan dikaji secara teliti oleh Kerajaan Negeri,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mendengar taklimat oleh PKCH berkenaan isu dan penyelesaian 32 orang peniaga di Cameron Highlands.
Dalam pada itu, Paduka Baginda dengan tegas mengingatkan agar tiada lagi pihak yang cuba menangguk di air keruh sekaligus memburukkan lagi keadaan.

“Saya nak perkara ini diharmonikan, jangan ada mana-mana pihak nak keruhkan keadaan, saya dengar sendiri, saya persoalkan sendiri, saya dah bertelagah sesama sendiri untuk selesaikan demi penyelesaian terbaik semua pihak.
“Memanglah kita tidak boleh nak senangkan semua pihak, yang nak bising itu hak dia tapi janganlah berlebih-lebihan..ikutlah proses (syarat dan perundangan) yang ditentukan. Kita semua ini manusia juga ye, ada feelings (hati dan perasaan).
Tak guna kita nak melaung-laung (tiada adab) di luar sana, selesai secara elok,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG