KUALA LUMPUR 27 Julai 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah agar setiap pasangan yang berhajat untuk memiliki zuriat tidak menyimpan perasaan malu atau berputus asa.
Baginda bertitah, ikhtihar perlu dilakukan walaupun menghadapi cabaran dalam mendapatkan rawatan kesuburan kerana baginda sendiri tahu bagaimana cabaran terutamanya dari sudut emosi dan juga keperluan kewangan.
“Sebagai pengasas Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF), saya sendiri amat memahami keinginan dan kesukaran itu. Saya juga telah melaluinya dan saya mahu nikmat dan anugerah (anak) yang Allah SWT berikan kepada saya turut dapat dirasai insan lain dengan membantu golongan yang benar-benar memerlukan untuk mendapatkan anak.
“Ujian ini adalah cabaran yang tidak mudah dilalui oleh sesiapa sahaja, dan adalah menjadi kewajipan kita untuk memberikan sokongan, pemahaman dan bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan melalui kewujudan pusat kesuburan yang ada di negara ini yang menyediakan kaedah moden serta tinggi peluang untuk berjaya memperoleh zuriat.
“Namun begitu, apa jua yang kita laui dalam hidup ini, hanya Allah SWT maha mengetahui segalanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa, tetapi segala-galanya dari Allah jua,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Pusat Kesuburan Alhaya (Alhaya Fertility Centre) di Hospital Pakar Damansara 2, hari ini.
Pusat Kesuburan Alhaya merupakan cawangan baru Alpha IVF Group Berhad yang menyediakan rawatan kesuburan terkini dan persekitaran inklusif bagi mereka yang memerlukan rawatan ini termasuk komuniti Muslim.
Turut hadir ialah penyanyi terkenal negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang turut berkongsi pengalaman dan rasa terima kasih beliau terhadap sokongan peribadi KDPB Tengku Ampuan Pahang dalam mendapatkan dua zuriat melalui rawatan IVF.
Hadir sama Pengarah Urusan Alpha IVF Group Berhad, Dato’ Dr Colin Lee. -KESULTANAN PAHANG