CAMERON HIGHLANDS, 14 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat agar Kampung Desa Kayangan, Brinchang dapat dijadikan sebagai sebuah Kampung Melayu yang boleh menarik pelancong.

Paduka Baginda bertitah, bagaimanapun cadangan itu memerlukan kajian dan penelitian daripada pihak kerajaan negeri sebelum ia dapat direalisasikan.
“Saya nak ini (Desa Kayangan) jadi satu taman yang boleh dicontohi, taman orang Melayu sini dan juga Orang Asli.

“Dan itulah kita akan kaji dari segi tempat-tempat tarikan pelancong antaranya mungkin ada pusat kebudayaan, tempat makanan-makanan Melayu tradisiona mahupun makanan Orang Asli sekali pun. Kita kaji dulu ye mungkin itu satu cadangan, tinjau dan direalisasikan di masa akan datang,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan rumah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

Sementara itu, Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan usaha menyusun kembali kedudukan rumah di kampung ini selain usaha untuk memastikan penduduk tinggal di atas tanah secara sah.

“Seperti mana yang dinyatakan oleh Pegawai Daerah tadi, saya dan MB (Menteri Besar Pahang) akan teliti cadangan yang akan dibuat oleh pihak PKCH (Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands) membahagikan lot-lot (tanah) kepada semua penghuni yang ada di sini, kita nak menghalalkan penduduk yang tinggal di atas tanah ini.

“Namun seperti yang saya katakan tadi, saya harap mereka akan terus menjaga kawasan dengan sebaik mungkin, jaga kebersihan dan kecantikan.

“Yang lebih penting kesejahteraan di sini nak tengok dari segi infrastrukturnya, jalan elok, api (elektrik), air semua ada, keselesaan di sini itu yang diutamakan dulu.

“(Setakat ini) saya masih belum berpuas hati, banyak bangunan tapak rumah tidak disiapkan dengan sempurna, jalan masih belum diturap dengan sepenuhnya.. so (jadi) semua dalam proses,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan hasrat untuk melihat pusat pelancongan tanah tinggi ini disediakan dengan perkhidmatan bas ulang-alik bagi mengatasi masalah kesesakan terutamanya pada musim cuti.

“Saya nak ada kajian untuk buat shuttle bus (bas ulang-alik) daripada Bharat Tea sampai ke Kea Farm supaya senang orang shuttle, tak payah bawa kereta, boleh tinggal kereta di sana dan boleh naik bas je la as tourist (pelancung). Ia secara tidak langsung boleh mengurangkan kesesakan (lalulintas),” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG