KUANTAN, 27 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini malam ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Paduka Baginda berangkat tiba pada pukul 7.10 malam sebelum menunaikan solat Maghrib, solat hajat, solat sunat ba’adiah, membaca Yasin dan kemudiannya menunaikan solat Isyak selepas menyampaikan titah.

Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah menegaskan kehadiran Paduka Baginda ke program berkenaan adalah untuk beribadat bersama-sama rakyat yang hadir selain berterima kasih di atas sokongan, kesetiaan dan kasih sayang rakyat terhadap Paduka Baginda dan institusi Kesultanan Pahang.

“Saya tidak mahu kehadiran saya dipolitikkan, kerana ia tidak akan memberi satu gambaran, satu naratif yang baik kepada institusi Diraja.
Kita datang ke sini semata-mata untuk bermunajat, menyembah Allah SWT dan berdoa agar kita di Pahang, rakyat Pahang sentiasa dilindungi Allah SWT.
“Saya menghargai setiap rakyat secara sama rata. Saya tidak pernah melibatkan diri dalam soal politik, dari dulu, kini dan akan datang,” tegas Paduka Baginda.

Sementara itu, Paduka Baginda menyeru agar semua pihak mengambil tauladan daripada kepimpinan Rasulullah SAW dan menjadikannya sebagai asas di dalam memperkukuhkan perpaduan di negeri Pahang.
“Jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan, sebaliknya hormatilah satu sama lain dan carilah titik persamaan demi kesejahteraan kita bersama.

“Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua pihak perlu sentiasa bersangka baik. Janganlah kita terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif. Sebaliknya, berikanlah ruang untuk memahami dan mencari penyelesaian secara bijaksana,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menekankan bahawa kerajaan perlu menyantuni dan prihatin terhadap rakyat di mana kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang mendengar denyut nadi suara rakyat, memahami keperluan mereka dan bertindak dengan penuh kasih sayang serta tanggungjawab.

Pada masa yang sama juga Paduka Baginda mengingatkan pihak pembangkang agar memainkan peranan yang membina dan memastikan kritikan yang diberi berbentuk cadangan yang baik dan bukan semata-mata untuk menimbulkan perpecahan.
“Semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang, dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka menfitnah, menabur kebencian, dan menyebarkan berita yang tidak benar. Sikap seperti ini hanya akan melemahkan perpaduan dan menghakis nilai moral dalam masyarakat,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
