KUANTAN, 26 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Kongres Neurosurgeri Antarabangsa 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang disambut oleh Presiden Persatuan Neurosurgeri Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran kongres serta pelancaran buku ‘Neurosurgical Unlocked’ serta mengurniakan penyampaian NAM Distinguished Educator Awards sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam bidang pendidikan neurosurgeri.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat melawat reruai pameran yang memaparkan pelbagai maklumat dan perkembangan terkini dalam bidang neurosurgeri.
Majlis anjuran Neurosurgical Association of Malaysia (NAM) dengan kerjasama Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) ini menjadi platform menghimpunkan pakar dan pengamal perubatan bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta perkembangan terkini dalam bidang neurosurgeri di peringkat antarabangsa. – KESULTANAN PAHANG







