KUANTAN, 8 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Majlis Santapan Sempena Meraikan Ulang Tahun Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) Ke-20 di Hotel Grand Darul Makmur di sini, hari ini.

Ketibaan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Paduka Baginda dan hadirin disajikan dengan persembahan deklamasi sajak, nyanyian serta tayangan video istimewa sempena ulang tahun TAFF Ke-20.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan rantai TAFF kepada 26 orang anak-anak TAFF sebagai identiti kepada anak yang dilahirkan menerusi bantuan dan sokongan TAFF sebelum memotong kek ulang tahun sebagai simbolik sambutan. -KESULTANAN PAHANG


