SEPANG, 12 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan takziah dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris mangsa lemas di Sungai Triang, Bera, Pahang dalam kejadian pada Isnin, 9 Jun 2025.

Kurniaan Paduka Baginda disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada suami mangsa, Sarjan Abdul Wahid Bin Randa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, kira-kira jam 5 pagi hari ini.

Sarjan Abdul Wahid yang bertugas di Kem Bera, Pahang ketika itu dalam perjalanan mengiring jenazah isteri, Sakirah Binti Akop,31, untuk dikebumikan ke kampung halaman mereka di Kampung Sapong, Tenom, Sabah.

Sementara itu, Paduka Baginda turut menitahkan agar semua masjid di Pahang menganjurkan solat jenazah ghaib bagi mangsa kemalangan bas (membabitkan pelajar UPSI) dan bacaan yasin, tahlil serta solat sunat tolak bala selepas solat Maghrib, malam ini.

Titah berkenaan dizahirkan melalui kenyataan media oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang yang turut mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan kepada mangsa yang masih dirawat, dan mendokan semoga negeri Pahang secara khususnya dijauhkan daripada segala bencana alam dan kemudaratan – KESULTANAN PAHANG